Pages

Popular Posts

Popular Posts

Total Pageviews

Popular Posts

Saturday, April 13, 2013

Buku Malai/Malay/Malayu dan Dunia

Buku terbaru saya, berjodol MALAI/MALAY/MALAYU dan DUNIA memaparkan asal usul Orang Melayu yang sebenarnya, tidak mengikut kacamata ahli sejarah Barat dan yang sealiran dengannya. Mengikut mereka, Orang Melayu berasal dari Yunnan, Negeri China. Tetapi mengikut kajian saya, mungkinkah Orang Melayu dari Alam Melayu (Nusantara) ini merantau ke Yunnan, wilayah Baratdaya Negeri China, Tibet, Nepal, Alaska, Amerika Utara, Amerika Tengah, Amerika Selatan dan lain-lain tempat di seluruh muka bumi ini?

Sejarah awal ketamadunan Orang Melayu (sebelum berpecah menjadi suku bangsa Melayu, Jawa, Bugis, Sunda, Batak, Minang, Banjar, Kadazandusun, Filipino, Khmer dan sebagainya) diketahui telah wujud lebih kurang 1.83 juta tahun dahulu seperti yang ditemui oleh pakar-pakar arkeologi, geologi dan sains dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, di Lenggong, Perak, Malaysia. Penemuan ini telah diakui oleh UNESCO dan tempat tersebut dijadikan Tapak Warisan.

Orang Melayu berpecah kepada berbagai suku bangsa akibat berlaku letusan gunung berapi, Gunung Batara Guru di Sumatera (kini menjadi Tasik Toba dan Pulau Samosir) yang mengakibatkan terjadinya super tsunami yang menenggelamkan sebahagian tanah daratan Alam Melayu. Malapetaka dahsyat ini berlaku lebih kurang 70,000 tahun dahulu. Sebelum itu, Alam Melayu (Nusantara) ini memanjang dari Sumatera sehingga ke Taiwan. Daratan yang tenggelam itu dinamakan Tanah Sunda (Sundaland) atau Lemuria atau Atlantis atau Kumari Kandam atau Mu.

Kehebatan nenek moyang (leluhur) Orang Melayu adalah di bidang pelayaran, pembuatan kapal, pertukangan, seni bina, kebudayaan dan ekonomi. Mereka mempunyai sukatan berat seperti tahil, kati, pikul, cupak, gantang dan sebagainya. Oleh kerana Alam Melayu ini mempunyai berbagai galian dan logam berharga seperti emas, timah dan lain-lain, Orang Melayu mempunyai sukatan/timbangan berupa mayam. Sehinggakan Orang Greek (Yunani) menamakan Semenanjung Malaysia sebagai Semenanjung Emas.

Selain itu, terdapat Orang Melayu yang membantu penduduk tempatan membangunkan tamadun dan peradaban di Mohenja-Daro dan Harappa di Lembah Indus, Sumeria di Lembah Mesopotamia, Mesir Purba di Lembah Nil, Pesisir Mediterranean, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Sebelum itu terdapat Orang Melayu yang membantu Orang China membina Tembok Besar Negeri China, terusan dan sawah padi di lereng-lereng bukit berbentuk teres.

Untuk mendapatkan gambaran lebih lanjut, dapatkan buku tersebut daripada:
1) Zarina 019-3037107
2) Haziq 013-4499164

Selamat membaca, daripada:
Dr ILYAS HARUN

PRU 13

Malaysia akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) pada 5 Mei 2013 dan penamaan calon pada 20 April 2013, di mana terdapat 15 hari untuk berkempen. PRU kali ini memang senget kerana Pakatan Rakyat (PKR+PAS+DAP) bertanding di semua kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negara untuk menandingi Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat sudah mengisytiharkan Manifesto Pilihan Raya mereka lebih awal daripada Barisan Nasional yang menunjukkan kesungguhan PR untuk membela nasib rakyat yang mengalami tekanan hidup akibat harga barang keperluan melambung tinggi yang tidak setimpal dengan pendapatan mereka. Walaupun Barisan Nasional (parti pemerintah) telah menghulurkan berbagai bantuan kewangan kepada rakyat seperti BRIM1, BRIM2 dan sebagainya tetapi pemberian tersebut sudah berlalu beberapa bulan yang semestinya sudah habis dibelanjakan oleh penerima.

Kini, Malaysia berjaya mengamalkan sistem politik dua parti gergasi (BN dan PR) yang menyamai negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Great Britain dan lain-lain. Rakyat Malaysia kini sudah mempunyai pilihan, samada mengundi BN atau PR. Mengikut kajian secara rambang tentang kedudukan parti-parti yang bertanding itu, terdapat anjakan pemikiran pengundi ke arah menyokong parti pembangkang (PR). Namun begitu, segala-galanya tidak dapat diramalkan dengan tepat kerana rakyat Malaysia belum bersedia sepenuhnya untuk memahami sistem demokrasi yang sebenarnya. Terlalu ramai rakyat yang tidak faham tentang tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Mengikut ramalan saya, kedudukannya adalah 50:50, tertakluk kepada faktor calon-calon yang akan dikemukakan oleh BN. Rakyat yang sedar sudah tidak memilih parti, tetapi mereka akan mengundi calon-calon yang berkaliber, berpendidikan dan komited untuk membela nasib rakyat. Selain itu, terdapat pengundi di atas pagar dan pengundi muda yang sudah tentu memberikan undi mereka kepada PR untuk melakukan pembaharuan dan pembelaan yang selama ini gagal dilaksanakan oleh BN. Mereka juga mahu perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dihapuskan supaya negara ini boleh maju dengan cepat seperti yang dialami oleh Singapura dan Korea Selatan.

Selamat mengundi dan undilah individu dan parti yang tulen untuk memperjuangkan nasib rakyat.
Dr Ilyas Harun, pengundi Parlimen Setiawangsa, Wilayah Persekutuan