Pages

Popular Posts

Popular Posts

Total Pageviews

Popular Posts

Follow by Email

Monday, April 16, 2012

PRO & ANTI PENYENARAIAN FELDA GLOBAL

Sehingga kini, berita hangat yang banyak diperkatakan orang ialah tentang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad ke Bursa Malaysia. Terdapat golongan yang menyokong penyenaraian itu dan terdapat pula golongan yang membantah hal tersebut. Keseluruhan yang menentang itu adalah dari parti-parti pembangkang.

Sebagai anak peneroka Felda Lurah Bilut (tanah rancangan Felda terawal dibuka di negara ini, iaitu pada tahun 1958 dan kemasukan peneroka pada tahun 1959), saya terpanggil untuk memberikan komen secara jujur dan berterus terang yang tidak memihak kepada mana-mana golongan.

Sebelum itu, eloklah saya terangkan berbagai isu yang dihadapi oleh peneroka dan generasi peneroka yang masih belum diselesaikan oleh pihak Felda dan Kerajaan. Sebahagian daripada isu-isu besar yang masih belum di atasi adalah seperti berikut:-

1. PERUMAHAN GENERASI KEDUA

Majoriti peneroka mempunyai anak seramai 5 orang atau lebih. Di awal pembukaan tanah rancangan Felda tiada timbul masalah perumahan anak-anak peneroka kerana kebanyakan mereka masih kecil lagi. Setelah masa berjalan dan generasi peneroka ini berkahwin dan beranak pinak, timbul masalah besar tentang rumah-rumah kediaman mereka. Ini berlaku kepada generasi peneroka yang menetap di tanah-tanah rancangan Felda. Mereka tidak sesuai menumpang di rumah orang tua mereka kerana jumlah generasi ini semakin membesar. Kini, terdapat 317 buah tanah rancangan Felda di seluruh negara yang menghadapi masalah besar ini.

Oleh kerana terdapat banyak tanah kosong yang besar dan sesuai dibina rumah bagi generasi peneroka di tanah-tanah rancangan Felda, sepatutnya Pihak Berkuasa (Felda dan Kerajaan Pusat/Negeri) membina rumah kediaman tersebut tanpa didesak oleh peneroka dan generasi Felda. Perkara ini tidak diambil peduli oleh Pihak Berkuasa yang menimbulkan berbagai masalah sosial di tanah-tanah rancangan Felda.

Kini, ada terdapat usaha Felda membangunkan rumah-rumah generasi Felda di Felda Jengka dan Felda Chini, tetapi ianya tidak menyeluruh untuk menyelesaikan masalah yang besar ini. Kelemahan Felda ialah membina Feldajaya, iaitu bandar-bandar baru di gugusan Felda terpilih yang menelan belanja beratus juta ringgit. Sepatutnya wang sebesar ini dapat menyelesaikan masalah perumahan generasi peneroka Felda di seluruh negara.

2. BIDANG KEUSAHAWAN DI KALANGAN WARGA FELDA

Tiada terdapat usaha-usaha yang positif oleh pihak Felda untuk membangunkan bidang perniagaan dan perindustrian di kalangan warga Felda bagi menambah pendapatan. Generasi Felda menghadapi masalah besar untuk mendapatkan modal untuk memula atau membesarkan perniagaan mereka. Memang ada dana khas yang diwujudkan oleh Felda untuk tujuan keusahawanan dan perniagaan di kalangan warga Felda tetapi dana tersebut tidak digunakan sepenuhnya atau diberikan kepada para usahawan tulen. Oleh sebab itu, kebanyakan bandar-bandar yang diwujudkan oleh Kerajaan di gugusan Felda, seperti Bandar Pusat Jengka (kini Bandar Tun Razak), Bandar Chini dan lain-lain seperti hidup segan mati tak mahu. Sebaliknya bandar-bandar bukan Melayu yang di luar tanah-tanah rancangan Felda pula berkembang pesat seperti Jerantut, Sungai Jan, Mentakab, Sri Jaya, Kulai, Segamat, Kota Tinggi dan Bahau.

3. MASALAH ISU PERAHAN MINYAK

Hasil ladang sawit peneroka yang dihantar ke kilang Felda tidak mendapat harga yang tinggi jika dibanding dengan harga tawaran kilang swasta. Isu perahan minyak sawit ini menjadi hangat di kalangan peneroka dan pihak Felda tidak segera menyelesaikan masalah ini. Oleh kerana ketidakprihatian Felda itu, para peneroka Felda Kemahang, Kelantan telah membawa isu perahan minyak ini ke Mahkamah di mana Mahkamah memerintahkan Felda berbayar ganti rugi berjuta-juta ringgit. Banyak lagi kes yang sedang berjalan dan yang akan dibawa oleh peneroka ke Mahkamah.

Itu adalah sebahagian daripada isu-isu besar yang belum diselesaikan oleh Felda dan Kerajaan. Adakah selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad, isu-isu ini dapat diselesaikan? Adakah matlamat utama penyenaraian tersebut untuk menyelesaikan berbagai masalah di tanah-tanah rancangan Felda di seluruh negara? Jawapan yang pasti ialah TIDAK.