Pages

Popular Posts

Popular Posts

Total Pageviews

Popular Posts

Follow by Email

Thursday, February 23, 2012

ORANG MELAYU SUDAH HILANG IDENTITINYA

Pada 21 Februari 2012, saya dijemput untuk menghadiri Majlis Pelancaran JATI yang diasaskan oleh YB Dato Dr Hassan Ali, mantan EXCO Agama Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang berlangsung di Dewan SACC, Shah Alam. Turut hadir ialah YBhg Tan Sri Harussani, mufti Perak.

Objektif JATI ditubuhkan ialah untuk menegakkan Islam, Melayu dan Raja (IMR). Namun begitu, objektif ini memecahbelahkan lagi orang Melayu kepada banyak kumpulan. Kenapakah orang Melayu masih miskin dan mundur di negara yang kaya ini? Sedangkan pucuk pimpinan (UMNO dan PAS) adalah Melayu belaka, termasuklah raja-raja? Semasa ada kuasa dulu, Dr Hassan Ali pun gagal memertabatkan kedudukan orang Melayu, Islam dan Raja. Kenapakah selepas kuasa sudah tidak ada, perkara itu mahu diperjuangkan? Perbuatan itu samalah dengan Tun Dr Mahathir dan lain-lain pemimpin UMNO yang mahu memperjuangkan nasib orang Melayu selepas mereka tidak ada kuasa lagi. Tanyakan hal ini kepada ahli-ahli MUBARAK (Majlis Bekas Wakil-Wakil Rakyat) yang sudah ketinggalan bas. Atau tanyakan kepada para pemimpin PKR yang pernah mempunyai kuasa besar dulu. Orang Melayu bukan semuanya bodoh seperti yang dianggap oleh para pemimpin politik dan agama.

Sebab utama orang Melayu berpecah belah, miskin dan mundur kerana mereka sudah hilang identiti keMelayuannya kerana terpengaruh dengan identiti orang lain, baik dari Barat mahupun dari Timur Tengah. Mereka lebih mengenali keturunan orang lain daripada keturunan sendiri. Tanyakan kepada kebanyakan orang Melayu tentang nama moyang atau lebih atas sedikit dari moyang mereka. Semuanya tidak tahu. Tetapi, tanyakan mereka tentang nama para sahabat Nabi dan para pemimpin Arab, semuanya tahu. Inilah senario yang berlaku, tetapi perkara ini dianggap sensitif pula. Nampaknya orang Melayu lebih Arab daripada orang Arab atau lebih Barat daripada orang Barat. Penyakit ini bertambah kronik dari hari ke hari. Itu sebabnya kebanyakan orang Melayu mudah dikotak-katikkan oleh para pemimpin politik dan agama. Akhirnya orang Melayu menjadi pemerhati dan pengguna terhadap kemajuan yang dicapai oleh bangsa-bangsa lain. Mereka asyik menyalahkan Yahudi dan Barat terhadap kemunduran mereka. Pendek kata, orang lain yang salah, bukan diri mereka. Bilakah mereka mahu membuka minda mereka seluas-luasnya untuk mengetahui kesalahan sendiri dan bersaing dengan bangsa-bangsa lain?

Sunday, February 5, 2012

MELAYU OH MELAYU!!

Orang Melayu di Malaysia tengah tenat sekarang. Walaupun para pemimpin tertinggi negara ini adalah Melayu tetapi Orang Melayu merupakan bangsa yang paling miskin dan mundur jika dibandingkan dengan kaum-kaum bukan Melayu. Inilah fakta sebenar yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Berbagai institusi Kerajaan ditubuhkan untuk membantu dan meningkatkan taraf hidup Orang Melayu tetapi kebanyakannya gagal disebabkan naungan politik dan birokrasi. Di samping itu, beberapa buah parti politik yang ditunjangi oleh para pemimpin Melayu ingin memperjuangkan nasib Orang Melayu tetapi semuanya semantik jimnastik bahasa yang memualkan bagi Orang Melayu yang terbuka mindanya.

Orang Melayu memerlukan payung yang baru untuk melindungi kepentingan dan keistimewaan mereka seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Payung-payung lama dan sedia ada telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, terutamanya payung yang memegang pemerintahan negara. Orang Melayu sudah begitu lama ditipu - dulu ditipu oleh Penjajah Inggeris, sekarang ditipu oleh para pemimpin sendiri. Perkara ini berlaku kerana kebanyakan Orang Melayu masih berfikir di dalam kotak pemikiran konvensional dan takut untuk melakukan pembaharuan. Lebih malang lagi, para ulama turut memainkan peranan menakut-nakutkan Orang Melayu. Para ulama ini adalah jurucakap pemerintah yang sangat taat. Mereka asyik mengeluarkan berbagai fatwa yang berbeza-beza di antara satu negeri dengan negeri yang lain di Malaysia ini yang boleh dianggap tidak masuk akal. Sesama mereka pun tidak sepakat!

Orang Melayu suka mengutuk sesama sendiri. Jika terdapat bukan Melayu yang menghentam Orang Melayu, terdapat Orang Melayu yang menyokong hentaman tersebut. Contohnya: Prof Khoo Kay Kim mengatakan Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Li Po dan keris Taming Sari tidak wujud kerana tiada bukti, Orang Melayu pun berdiam diri. Bila Kamal Ashnawi mengaku sebagai orang yang terkaya di dunia, Orang Melayulah yang pertama mengutuk beliau. Mungkin Orang Melayu suka bukan Melayu yang kaya raya dan bila terdapat Orang Melayu yang kaya, mereka pun dengki sesama bangsa sendiri. Ini disebabkan Orang Melayu yang kaya raya tidak mahu menolong sesama bangsa. Mereka mengkayarayakan diri dan keluarga sendiri sahaja tanpa memikirkan Orang Melayu yang miskin. Institusi Islam seperti Pusat Zakat dan Tabung Haji yang mempunyai simpanan wang berbilion ringgit pun tidak mahu membantu Orang Melayu yang miskin secara serius. Bantuan hanya diberikan apabila dekat Hari Raya sahaja.

Di ruangan ini, saya mahu menjemput Orang Melayu mencari suatu formula untuk menjadikan Orang Melayu sebagai bangsa yang hebat dan tidak hidup melarat di dalam negara yang kaya raya dengan sumber dan hasil mahsul bumi yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Berikan pendapat yang boleh dijadikan panduan untuk membangkitkan semangat Orang Melayu di negara ini. Selamat berdiskusi.