Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang merupakan tanah rancangan Felda yang pertama di Malaya (sekarang Malaysia) yang dihuni oleh para peneroka pada tahun 1959. Ia merupakan projek perintis sebagai penilaian bagi Bank Dunia untuk memberikan pinjaman kepada Kerajaan bagi membuka lebih banyak lagi tanah-tanah rancangan Felda di seluruh negara. Kejayaan Felda Lurah Bilut dan dana besar dari Bank Dunia membolehkan Kerajaan membuka lebih banyak lagi tanah rancangan Felda untuk membantu rakyat yang tidak memiliki tanah. Kini warga Felda dianggarkan hampir 20% daripada penduduk Malaysia.
Setelah berlalunya 58 tahun, nasib para peneroka dan generasi Felda mendapat pembelaan yang sewajarnya dan menampakkan kejayaan. Namun begitu, terdapat beberapa kelemahan pihak Pengurusan Felda dan Kerajaan Malaysia berhubung dengan tanggungan hutang yang banyak oleh para peneroka dan nasih generasi kedua Felda yang terpinggir. Walau bagaimana pun, kesalahan tidak terletak di bahu Kerajaan dan Felda, tetapi para peneroka dan generasi kedua sebagai pewaris ada melakukan kesalahan. Mahukah kita mengaku kesalahan kita? Lihatlah fakta berikut:-
1. Sebagai generasi pewaris bagi ladang 10 ekar milik arwah bapa/ibu kita, berapakah jumlah pendapatan hasil ladang yang kita simpan sebagai "Tabung Untuk Tanam Semula" (TUTS)? Katakan pendapatan hasil ladang RM 3,000 sebulan, simpanan ke dalam tabung TUTS RM 300 atau 10% daripada pendapatan hasil ladang pada setiap bulan. Dalam masa 10 tahun, ianya menjadi RM36,000, dan dalam masa 20 tahun, ianya menjadi RM72,000. Dengan jumlah tabungan kita yang banyak itu, kerja-kerja tanam semula ladang tidak payah diserahkan kepada Felda kerana kita sudah mampu buat sendiri dan dana sendiri. Kita pun tidak menanggung hutang.
2. Jika pendapatan hasil ladang peneroka Felda purata RM2,7000 sebulan (setelah ditolak tabung TUTS) itu dibelanjakan di kedai-kedai milik peneroka di Felda masing-masing, sudah tentulah para peniaga tempatan dapat membesarkan lagi kedai mereka atau mempelbagaikan perniagaan mereka. Tetapi apa yang terjadi? Para peneroka Felda sanggup berbelanja di kedai-kedai di luar tanah rancangan Felda mereka di pekan atau bandar berdekatan, contohnya Sungai Jan (Tong Kiat), Jerantut, Mentakab, Raub, Bentong, Mentakab, Jerantut, Kuantan, dan lain-lain yang dimiliki oleh bukan Melayu. Setiap bulan, berjuta-juta ringgit pendapatan peneroka mengalir keluar dari tanah rancangan Felda.
3. Pada zaman ibu/bapa (generasi pertama) masuk ke tanah rancangan Felda, perpaduan di kalangan mereka sangat utuh walaupun di kalangan mereka menganggotai berbagai parti politik dan dogma. Kenapakah sekarang ini tiada lagi perpaduan seperti di zaman ibu/bapa kita, sedangkan generasi kedua sudah mendapat pendidikan tinggi jika dibandingkan dengan generasi pertama?
4. Ibu/bapa (generasi pertama) membina rumah yang selesa untuk anak-anak mereka yang ramai bilangannya. Tetapi sekarang, anak-anak (generasi kedua) yang ramai itu tidak pula boleh membesarkan rumah pusaka tersebut. Terdapat banyak rumah-rumah pusaka itu yang roboh atau terabai begitu sahaja.
5. Jika setiap warga Felda, khasnya generasi kedua menjaga kebersihan kawasan rumah (luar dan dalam), pihak Felda atau JKKK atau JKKR tidak payah memotong rumput di bahu jalan di hadapan rumah peneroka. Perbelanjaan penyelenggaran ini agak tinggi pada setiap bulan.
6. Jika ibu/bapa murid-murid di sekolah-sekolah rendah dan menengah memahami betapa pentingnya pendidikan untuk anak-anak mereka, tabung PIBG dengan sendirinya berisi penuh tanpa memohon bantuan kewangan daripada pihak-pihak lain. Sikap prihatin sudah luntur di kalangan generasi kedua Felda pada masa ini.
7. Jika setiap pemilik ladang faham tentang tugas dan tanggungjawabnya, sudah tentulah ladang akan menjadi bersih dan hasil keluaran pun meningkat.
8. Dulu, tanah-tanah rancangan Felda bersemarak (vibrant) dengan berbagai aktiviti kemasyarakatan di bidang keagamaan, kebudayaan, sukan dan ekonomi yang melahirkan insan-insan yang hebat dan berkualiti. Tetapi sekarang?
9. Generasi kedua dan ketiga ramai yang berpangkat tinggi di sektor awam dan swasta. Begitu juga di bidang perniagaan, ramai yang menjadi usahawan yang berjaya dan tokoh korporat. Jika mereka ini prihatin dan sayangkan kampung halaman mereka di tanah-tanah rancangan Felda, sudah tentulah tanah-tanah rancangan Felda menjadi lebih maju dan berdaya saing dengan bandar-bandar yang berdekatan dengan pelbagai aktiviti ekonomi, sosial, kebudayaan dan sukan.
10. Generasi kedua dan ketiga merupakan modal insan yang sangat besar dan berkualiti dengan pendidikan tinggi dan beraneka pengalaman, tetapi lelulusan, kepakaran dan pengalaman mereka itu tidak digunakan sepenuhnya oleh Kerajaan, pengurusan Felda dan masyarakat. Dalam pada itu, mereka sepatutnya boleh menubuhkan satu konglomerat dengan dana sendiri untuk membuka tanah-tanah rancangan ala Felda di seluruh dunia.
Sampai bila kita mahu menyalahkan orang atau pihak lain tanpa melakukan perubahan drastik untuk maju ke hadapan?
Dr Ilyas Harun (Generasi Kedua)
Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang
H/P: 012-9516012
Emel: drilyasmy@yahoo.co.uk
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment