Pages

Popular Posts

Popular Posts

Total Pageviews

Popular Posts

Thursday, February 23, 2012

ORANG MELAYU SUDAH HILANG IDENTITINYA

Pada 21 Februari 2012, saya dijemput untuk menghadiri Majlis Pelancaran JATI yang diasaskan oleh YB Dato Dr Hassan Ali, mantan EXCO Agama Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang berlangsung di Dewan SACC, Shah Alam. Turut hadir ialah YBhg Tan Sri Harussani, mufti Perak.

Objektif JATI ditubuhkan ialah untuk menegakkan Islam, Melayu dan Raja (IMR). Namun begitu, objektif ini memecahbelahkan lagi orang Melayu kepada banyak kumpulan. Kenapakah orang Melayu masih miskin dan mundur di negara yang kaya ini? Sedangkan pucuk pimpinan (UMNO dan PAS) adalah Melayu belaka, termasuklah raja-raja? Semasa ada kuasa dulu, Dr Hassan Ali pun gagal memertabatkan kedudukan orang Melayu, Islam dan Raja. Kenapakah selepas kuasa sudah tidak ada, perkara itu mahu diperjuangkan? Perbuatan itu samalah dengan Tun Dr Mahathir dan lain-lain pemimpin UMNO yang mahu memperjuangkan nasib orang Melayu selepas mereka tidak ada kuasa lagi. Tanyakan hal ini kepada ahli-ahli MUBARAK (Majlis Bekas Wakil-Wakil Rakyat) yang sudah ketinggalan bas. Atau tanyakan kepada para pemimpin PKR yang pernah mempunyai kuasa besar dulu. Orang Melayu bukan semuanya bodoh seperti yang dianggap oleh para pemimpin politik dan agama.

Sebab utama orang Melayu berpecah belah, miskin dan mundur kerana mereka sudah hilang identiti keMelayuannya kerana terpengaruh dengan identiti orang lain, baik dari Barat mahupun dari Timur Tengah. Mereka lebih mengenali keturunan orang lain daripada keturunan sendiri. Tanyakan kepada kebanyakan orang Melayu tentang nama moyang atau lebih atas sedikit dari moyang mereka. Semuanya tidak tahu. Tetapi, tanyakan mereka tentang nama para sahabat Nabi dan para pemimpin Arab, semuanya tahu. Inilah senario yang berlaku, tetapi perkara ini dianggap sensitif pula. Nampaknya orang Melayu lebih Arab daripada orang Arab atau lebih Barat daripada orang Barat. Penyakit ini bertambah kronik dari hari ke hari. Itu sebabnya kebanyakan orang Melayu mudah dikotak-katikkan oleh para pemimpin politik dan agama. Akhirnya orang Melayu menjadi pemerhati dan pengguna terhadap kemajuan yang dicapai oleh bangsa-bangsa lain. Mereka asyik menyalahkan Yahudi dan Barat terhadap kemunduran mereka. Pendek kata, orang lain yang salah, bukan diri mereka. Bilakah mereka mahu membuka minda mereka seluas-luasnya untuk mengetahui kesalahan sendiri dan bersaing dengan bangsa-bangsa lain?

No comments:

Post a Comment