Suatu perarakan (rally) raksasa akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 (Sabtu) yang dianjurkan oleh gabungan NGO yang menamakan diri mereka, BERSIH untuk menuntut SPR, Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihan raya di negara ini secara telus dan tidak berat sebelah. Rali ini terpaksa diadakan kerana rali BERSIH tiga tahun dahulu dengan tuntutan yang sama tidak diendahkan oleh SPR dan pemerintah. Maka dengan kelam kabut, Polis menangkap lebih 100 orang rakyat Malaysia dengan tuduhan sebagai subsersif, termasuklah orang-orang yang memakai baju berwarna kuning (samada terdapat logo BERSIH atau tidak). Inilah kejadian yang menyedihkan. Sepatutnya, tuntutan-tuntutan tersebut dikaji sejak lama dahulu. Kini, terdapat rakyat yang tidak berpuas hati dengan sistem demokrasi berperlembagaan, khasnya di dalam pengendalian pilihanraya (umum dan kecil) di negara ini yang didapati tidak telus.
Agak aneh bila melihat tokoh-tokoh politik kita yang berkuasa tidak menghiraukan keluhan rakyat apabila mereka menduduki takhta. Tetapi semasa berlangsungnya pilihanraya, mereka ini sanggup turun ke kampung-kampung dan kawasan-kawasan pendalaman untuk menemui rakyat bagi meraih undi untuk berkuasa semula. Selepas menang dan mendapat kuasa, rakyat pun dilupakan. Barisan Nasional boleh bertahan lama memerintah negara ini dengan syarat para pemimpinnya betul-betul membela rakyat di mana kemiskinan menjadi ZERO di negara ini oleh sebab Malaysia merupakan negara yang kaya dengan hasil mahsul buminya. Jika kekayaan ini dibahagikan secara merata kepada seluruh rakyat, sudah tentulah tiada kemiskinan dan kemelaratan di negara ini dan Malaysia secara otomatik boleh menjadi NEGARA MAJU di dunia, iaitu sama tarafnya dengan Amerika, Jepun, dan Eropah. Perkara ini mestilah difikirkan secara mendalam orang para pemimpin kita untuk memajukan rakyat dan negara. Adalah tidak logik segelintir sahaja yang kaya raya sedangkan majoritinya miskin dan papa kedana.
Bagi Pakatan Rakyat yang memerintah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, para pemimpinnya mestilah memajukan negeri-negeri di bawah kepimpinan mereka supaya menjadi negeri-negeri yang maju di Malaysia dengan kemiskinan di paras SIFAR. Hentikan perbuatan mencari kesalahan para pemimpin (Barisan Nasional) terdahulu dan tumpukan kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di negeri masing-masing. Apabila negeri-negeri ini sudah menjadi maju dan kehidupan rakyat bertambah senang, sudah tentulah rakyat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional akan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat. Tidak usah adakan rali atau rapat umum/perhimpunan untuk menuntut itu dan ini dari kerajaan Pusat (BN). Jalankan tugas untuk memakmurkan rakyat supaya semua rakyat di negeri-negeri PR tidak ada yang miskin dan semuanya ada rumah dan mendapat pendidikan sehingga ke peringkat tinggi. Selain itu, negeri-negeri PR menjadi mercutanda kejayaan pemerintahan PR yang membuatkan semua rakyat berasa aman, makmur dan bahagia. Rakyat-rakyat di negeri-negeri pemerintahan BN pasti berasa inferiority complex dan mereka tidak akan memangkah BN lagi dalam pilihanraya.
Jika idealisma tersebut di atas dapat dilaksanakan oleh PR, sudah tentulah SPR tidak dapat nak memesongkan undi. Bolehkah SPR memesongkan berjuta undi yang diberikan rakyat kepada PR? Walaupun PR menuduh SPR berlaku tidak adil, tetapi kenapakah mereka dapat memerintah empat buah negeri dan menafikan 2/3 kuasa BN di Parlimen?
Kita boleh buat satu analogi seperti ini: katakan PR itu bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anaknya di mana anak-anaknya berjaya cemerlang dalam pendidikan, beretika dan berbudi bahasa, pandai berniaga dan menabung, hormat orang lain, patuh pada undang-undang dan bekerja keras tanpa mengomel, sudah tentulah si bapa itu menjadi bapa contoh, dan semestinya ingin ditiru oleh bapa-bapa lain. Bapa yang bertanggungjawab tidak akan menyalahkan orang/pihak lain. Dia fokus kepada pembangunan insan di bawah jagaannya. Menyalahkan orang/pihak lain tidak dapat menyelesaikan masalah dan sudah pasti membantutkan pembangunan insaniah dirinya dan anak-anaknya (rakyat di bawah pemerintahannya).
Memang betul demokrasi itu adalah kebebasan, tetapi bukanlah kebebasan mutlak. Jika PR sekarang ini menjadi parti pembangkang di Parlimen boleh mengadakan rali ataupun berbagai bantahan kepada BN sebagai parti pemerintah, bagaimana pula jika BN menjadi parti pembangkang dan melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh PR? Bolehkah aman negara ini jika ada perlakuan negatif yang destruktif seperti itu? Ataupun bos nombor satu ingin ditumbangkan oleh orang nombor dua? Bagaimana pula jika orang nombor dua itu yang sudah menjadi orang nombor satu mahu ditumbangkan oleh orang bawahannya? Inilah anarki. Biarlah rakyat membuat pilihan sebab negara ini demokrasi raja berperlembagaan. Kita mesti menghormati undang-undang yang digubal oleh Parlimen (dianggotai oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya).
Saya memang kenal dengan Anwar Ibrahim semasa menuntut di IPT dalam era 70an dahulu. Beliau yang pernah menjadi orang nombor dua hirarki pemerintahan negara dan menjadi menteri kewangan tidak dapat menaikkan taraf YAYASAN ANDA yang ditubuhkannya, bolehkah diharapkan pada beliau untuk memajukan negara ini? Semasa berkuasa, beliau sangat jarang melawat tanah-tanah rancangan Felda dan menyelesaikan berbagai permasalahan peneroka dan generasi Felda, tetapi kini beliau mahu menjadi juara warga Felda. Masuk akalkah perkara ini? Bila sudah hilang kuasa, beliau mahu jadi juara, tetapi bila ada kuasa beliau lupa. Beliau pun tidak demokratik apabila tidak bertanding dalam pemilihan kepimpinan Parti KeAdilan tetapi menjadi ketua de-facto (kuasa besar luar biasa). Apakah peranan Presiden parti tersebut? Patung? Bagaimana jika DS Najib tidak mahu bertanding jawatan Presiden UMNO tetapi menjadi ketua de-facto? Katakan PR menang majoriti PRU 13 di mana Parti KeAdilan mendapat undi tertinggi (ramai Wakil Rakyat di Parlimen), adakah Presiden Parti KeAdilan dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia atau Ketua de-facto? Maka berebut-rebutlah sesama para pemimpin PR untuk menjadi Perdana Menteri dengan undi tak percaya kepada Ketua de-facto. Mungkin Ketua de-facto meletak jawatan dan digantikan oleh ketua parti kedua terbesar. Berlaku juga undi tak percaya di kalangan MP-MP PR untuk Perdana Menteri yang baru ini meletakkan jawatan. Mereka berebut-rebut sesama sendiri dan bagaimana pula dengan nasib rakyat dan negara ini?
Pendapat saya adalah mudah: Pemimpin yang berkuasa sekarang (tidak kira dari BN atau PR) mestilah menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk membela nasib rakyat, bukan membela diri sendiri dan kroni. Rakyat kini sudah cerdik dan tahu politik di mana mereka dapat menilai para pemimpin yang membela rakyat dan memajukan negara/negeri. Dengan itu berwaspadalah semasa memegang kuasa untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah sebelum kuasa itu dicabut oleh rakyat. iNGATLAH BAHAWA RAKYAT MALAYSIA ADALAH BERKUASA BUKAN PARA PEMIMPIN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment