Pages

Popular Posts

Popular Posts

Total Pageviews

Popular Posts

Friday, January 7, 2011

Kekalutan senario

Mutakhir ini berlaku kekalutan di Selangor terhadap perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru. Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor tidak bersetuju dengan perlantikan Datuk Khusrin, pengarah JAIS sebagai SUK bagi menggantikan tempat Datuk Ramli. Namun begitu, Sultan Selangor telah bersetuju dengan perlantikan tersebut. Maka timbullah kekecohan di antara Istana Selangor dengan MB Selangor. Yang menjadi persoalan, kenapa timbalan SUK tidak dinaikkan pangkat menjadi SUK? Jika ini berlaku, sudah tentulah tiada menimbulkan kekecohan.

Nampaknya, MB Selangor sedang bermain api yang akan membakar dirinya. Beliau mahu meminda Perlembagaan Negeri Selangor. Bolehkah perkara ini mendapat persetujuan dua pertiga anggota Dewan Undangan Selangor? Ironinya, Pakatan Rakyat (bukan satu entiti, tetapi mengandungi pakatan tiga buah parti - KeAdilan, PAS dan DAP) kurang tiga kerusi (undi) untuk dua pertiga tersebut. Selepas itu, rang undang-undang ini harus ditandatangani oleh Sultan Selangor sebelum diluluskan menjadi undang-undang. Mahukah baginda Sultan merubah status quo yang baginda sudah lakukan?

Pada pendapat saya, eloklah Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dan mengosongkan kerusi Menteri Besar Selangor untuk diisi oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang lebih berwibawa dan karismatik supaya sokongan rakyat di Selangor khasnya dan Malaysia amnya bertambah padu terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. Anwar Ibrahim sebagai de-facto leader tidak boleh berdiam diri dalam perkara ini kerana ia melibatkan prestasi kerajaan Pakatan Rakyat. Sesungguhnya Tan Sri Khalid hanya layak menjadi tokoh korporat tetapi bukannya Menteri Besar. Beliau bukanlah orang politik tulen. Calon yang layak menggantikan tempatnya adalah Azmin Ali sebagai sifatnya Pengerusi KeAdilan Selangor dan Timbalan Presiden KeAdilan Pusat. Berikan peluang kepada orang muda untuk melakukan transformasi sebenar supaya pemerintahan Pakatan Rakyat adalah berbeza dengan pemerintahan Barisan Nasional.

Sepatutnya para pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah lima buah negeri di Malaysia ini tidak mengorek segala kesilapan dan kelemahan yang dilakukan oleh para pemimpin Barisan Nasional yang sudah kalah itu. Sebaliknya, mereka hendaklah membuktikan kepada rakyat dengan gaya baru pemerintahan Pakatan Rakyat yang mengambil kira kemakmuran, keadilan dan keamanan kepada rakyat. Lima buah negeri itu mestilah menjadi negeri yang paling maju di Malaysia. Siapa yang memerintahnya? Pakatan Rakyat. Inilah yang mesti difikirkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat. Akhirnya rakyat memberikan 110 peratus sokongan dan tak payah lagi adakan demonstrasi dan kempen di sana sini kerana rakyat sudah mewah, aman dan selamat di dalam negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Para pemimpin Barisan Nasional pula bagaimana?

No comments:

Post a Comment